LIMBANG, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri (SDCCM) Bilangan 1 2024 bertempat di sebuah hotel ternama di bandaraya ini.
Lima kementerian serta sebuah agensi di bawah kerajaan Sarawak membentangkan laporan berhubung prestasi pelaksanaan projek di Bahagian Limbang dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selaku pengerusi mesyuarat tersebut.
Lima kementerian serta agensi berkenaan ialah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali.
Selesai mesyuarat, Premier turut menerima kunjungan daripada Pengerusi Persatuan Melayu Limbang, Haji Mohamad bin Haji Abu Bakar.
Lawatan ke Limbang diteruskan pada sebelah petang kemudiannya diteruskan melawat ke beberapa tapak projek pembangunan termasuk Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Sungai Bunut No 2, Rumah Mampu Milik (RMM) Rangau, Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bahagian Limbang dan Tebingan Sungai Limbang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melakukan lawatan turun padang ke tiga tapak projek pembangunan kerajaan Sarawak di sini, pada petang Rabu.
Tapak pertama yang dilawati ialah projek cadangan pembinaan dan penyiapan Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Sungai Bunut No 2 dan Jalan Penghubung Bahagian Limbang yang direkodkan 70.57 peratus siap setakat Februari 2024.
Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek berjumlah RM187.62 juta ini dijangka siap pada 24 November 2025.
Seterusnya, Datuk Patinggi Abang Zohari bergerak ke tapak kedua iaitu projek pembinaan dan penyiapan Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang yang kini masih 34 peratus pelaksanaannya.
Menurut JKR Sarawak, projek yang menelan kos sebanyak RM157.28 juta ini dijangka siap pada 11 Februari 2025.
Sejurus selepas itu, lawatan Premier Sarawak diteruskan ke tapak projek cadangan menaik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2-Pakej 2 dan Fasa 3.
Menerusi taklimat yang disampaikan oleh Majlis Daerah Limbang (MDL), setakat 5 Mac 2024, projek Fasa 2-Pakej 2 berkeluasan 0.28 kilometer yang melibatkan pembinaan 'Planter Box', tempat parkir 'Food Truck', Gazebo, Esplanade Walk Way dan gerai-gerai makanan itu telah mencapai 88.05 peratus siap.
Manakala Fasa 3 melibatkan kerja-kerja pembinaan Bangunan Tamu Limbang, 'Lock-Up Shop', membaik pulih jeti, gerai-gerai dan jambatan pejalan kaki pula mencatat 71.77 peratus pelaksanaannya.
Kedua-duanya projek ini dijangka siap pada 19 September 2024.
Mengiringi beliau sepanjang lawatan itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman dan Residen Bahagian Limbang Unus Tambi.